Assalamualaikum,
Alhamdulilah, kita sama-sama bakal merayakan kejayaan berpuasa selama 29 hari dan menyambut 1 Syawal pada 30 Ogos 2011. Tahun ini juga memberi makna yang lebih mendalam buat saya secara peribadi kerana merayakan Aidilfitri bersama ahli baru dalam ikatan saya bersama isteri yakni anak sulong kami Waqiyuddin.
Saya yakin juga ramai dikalangan bekas pelajar Semetrik turut juga merayakan dengan cahaya mata masing-masing malahan ada yang telah mempunyai lebih daripada 1 orang cahaya mata. Inilah nikmat Syawal yang disambut bersama sanak dan saudara, keindahannya sukar digambarkan dengan perkataan.
Alumni telah berjaya mengadakan dua majlis berbuka puasa yang diaturkan oleh Naib YDP Alumni Hisyam Jusoh. Terima kasih buat teman-teman yang telah menghadirkan diri baik program berbuka puasa di Kuala Lumpur dan Ipoh. Secara peribadi saya juga agak terkilan kerana tidak dapat menghadirkan diri dalam kedua-dua program tersebut.
Namun saya menjemput seluruh Bekas Pelajar untuk melibatkan diri dengan program yang dianjurkan alumni tanpa kita mengira batch. Ikatan yang ingin dijalinkan oleh alumni agar kita dapat mengeratkan ukhuwah sebagai "Satu Semetrik". Seterusnya kita bersama-sama bergerak untuk menjadikan Persatuan Alumni Semetrik antara persatuan yang terulung di Malaysia.
Dikesempatan ini juga saya selaku YDP Alumni ingin menghulurkan sepuluh jari sebagai tanda kemaafan andai sepanjang saya menerajui Alumni ada sebarang salah dan silap yang sengaja dan tidak disengajakan. Apapun yang saya lakukan semata-mata untuk meletakkan Alumni sebagai satu persatuan yang berbakti kepada bangsa dan umat Islam umumnya. Saya berharap agar teman-teman terus bersama-sama saya untuk memperkembangkan dan meningkatkan mutu pengurusan Alumni Semetrik.
Akhir kalam, Insyallah di bulan Syawal yang mulia ini, marilah kita saling maaf bermaafan dan kunjung mengunjungi sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Marilah kita menjalinkan kembali ukhuwah yang barangkali terputus disebabkan faktor geografi dan syawal adalah peluang terbaik untuk menziarahi.
Saya mewakili YDP Alumni ingin mengucapkan Salam Aidilfitri buat seluruh bekas pelajar Semetrik, guru-guru dan bekas guru Semetrik serta seluruh warga Semetrik. Diharapkan kalian semua bergembira bersama keluarga tercinta.
Berhati-hati dalam memandu kenderan masing-masing.
Wassalam.
YDP ALUMNI SEMETRIK
29 Ramadhan
29 Ogos 2011
- Posted using BlogPress from my iPhone
No comments:
Post a Comment